
Tidak tidur lena ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah malam semalam selepas berjaya menjaringkan dua gol bertemu Manchester United dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Lebih membanggakan jaringan pertama yang dilakukannya pada minit ke-45 memang kelas dunia dan penjaga gol yang ditewaskannya bukan calang-calang pemain, Edwin van der Sar.
Bagi anak kelahiran Tanjung Karang itu ia merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang hidupnya terutama sekali selepas tiga tahun tidak beraksi untuk pasukan kebangsaan. (klik read more untuk maklumat lanjut)
Menurut Amri, sebelum perlawanan lagi dia sudah sedar penjaga gol kebangsaan Belanda itu sering berada di luar posisi ketika beraksi di atas padang dan dia sudah menanam tekad dari awal untuk sekurang-kurangnya melakukan lebih banyak percubaan jauh.
"Saya tahu cara permainan Van der Sar, dia akan berada jauh pada gawang gol dalam satu-satu perlawanan," katanya.
Jelasnya, ketika menerima bola sepakan gol dari penjaga gol, Farizal Marlias, dia hanya menunggu bola tersebut melantun sekali dan melihat Van der Sar sudah berada di luar posisi.
"Selepas melihat dia berada di luar posisi saya tidak teragak-agak untuk melepaskan rembatan lambung dan ternyata ia membuahkan hasil.
"Saya begitu gembira dengan jaringan tersebut dan teruja dapat menewaskan penjaga gol yang sudah terkenal dengan kehebatannya itu," kata Amri.
No comments:
Post a Comment