Saturday, July 25, 2009

KELANTAN FA

KAFA SERIUS CUNGKIL BAKAT BOLA SEPAK

KOTA BHARU – Hasrat Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA) untuk melihat lebih ramai pemain berpotensi diketengahkan untuk mewakili negeri ini semakin cerah dengan wujudnya penganjuran Piala Presiden Kafa.

Kejohanan yang terhasil daripada idea bernas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa kini memasuki edisi kedua tahun ini dan dilihat sebagai medium terbaik bagi mencungkil bakat baru di samping ‘mengintai’ pemain berpotensi dari seluruh Kelantan untuk diserapkan menyarung jersi pasukan Cik Siti Wan Kembang itu di masa depan.

Ia menjadi pentas terbaik bagi ahli gabungan KAFA yang terdiri daripada persatuan bola sepak jajahan mempertaruhkan bakat pemain masing-masing bagi memburu pengiktirafan yang lebih tinggi.

“Tidak dapat dinafikan terdapat pemain berpotensi yang gagal dikesan semasa proses pemilihan menyarung jersi Kelantan dan melalui kejohanan ini peluang mereka kembali terbuka luas.

“Di samping itu, KAFA berhasrat untuk melihat aspek pembangunan bola sepak di setiap jajahan terutamanya di pedalaman tidak mati begitu sahaja kerana ia bukan sahaja merugikan pemain malah Kafa sendiri,” kata Setiausaha Kejohanan, Arif Hassan.

Sehubungan itu, menurutnya KAFA mengambil langkah proaktif menyambung kejohanan Piala Presiden KAFA 2009 yang bermula secara rasminya pada 4 Mei lalu yang mana 10 pasukan yang mewakili jajahan masing-masing dibahagikan kepada dua kumpulan serta beraksi menggunakan format liga.

Kumpulan A terdiri daripada Persatuan Bola sepak Jajahan (PBJ) Kota Bharu, PBJ Pasir Mas, PBJ Jeli PBJ Machang dan PBJ Tanah Merah manakala kumpulan B dibarisi PBJ Pasir Puteh, Tumpat, Bachok, Kuala Krai dan Gua Musang.

Dua pasukan yang menduduki tangga teratas dalam setiap kumpulan kemudiannya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir yang berlangsung 7 Julai lalu.

PBJ Kota Bharu yang sekadar muncul naib juara musim lalu berpeluang menebus kehampaan mereka pada perlawanan akhir nanti apabila membenam cabaran PBJ Pasir Puteh 3-1 manakala PBJ Kuala Krai mengetepikan cabaran PBJ Pasir Mas 2-0.

Menurut Arif, lebih menarik, kejohanan tersebut turut mensyaratkan setiap pasukan membariskan sekurang-kurangnya tiga pemain berusia bawah 20 tahun pada setiap perlawanan selaras dengan hasrat KAFA serta Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) memberi peluang kepada bakat muda beraksi bersama pemain yang lebih berpengalaman.

Habuan lumayan menanti pasukan bergelar juara Piala Presiden KAFA yang mana mereka bakal menerima wang tunai RM20,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat manakala naib juara bakal membawa pulang RM10,000 sementara pasu-kan yang layak ke separuh akhir masing-masing menerima RM5,000. “Di samping hadiah yang cukup lumayan itu, pasukan yang muncul juara juga bakal dipilih untuk membawa cabaran Kelantan dalam saingan Piala FAM musim depan,” kata Arif.

Menyentuh tentang aspek pembangunan bola sepak akar umbi dan mencungkil bakat baru, KAFA tidak ketinggalan menyahut saranan FAM dengan penganjuran kejohanan Kijang Muda yang dikhaskan kepada pemain bawah 20 tahun yang mana PBJ Pasir Mas menewaskan PBJ Pasir Puteh 1-0 pada perlawanan akhir.

sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment