Skuad Harimau Muda berjaya mengetepikan saingan terdekat T-Team untuk menjuarai Liga Perdana setelah menewaskan Kuala Lumpur 2-1 pada perlawanan terakhir liga di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini Ahad malam.
Kemenangan ini membolehkan Harimau Muda mengumpul 62 mata daripada 20 kemenangan sekaligus menafikan hasrat T-Team untuk bergelar juara apabila kelab dari Terengganu itu hanya seri 1-1 dengan Shahzan Muda di Kuantan.
Pada perlawanan di Bukit Jalil itu, skuad bimbingan Ong Kim Swee membuka jaringan pada minit ke-32 melalui Fandi Othman sebelum Kuala Lumpur membalas melalui Azwan Abd Malik pada minit ke-50 namun gol kemenangan akhirnya hadir pada minit ke-83 melalui Wan Zack Haikal.
T-Team pula terpaksa akur di tempat kedua apabila seri 1-1 dengan Shahzan Muda di Stadium Darulmakmur, Kuantan dengan Mohd Harris Safwan Md Kamal meledek gol penyamaan pada minit ke-60 setelah tuan rumah mendahului melalui Azizul Kamaluddin seawal minit ke-10 permainan.
Gol tersebut meletakkan Mohd Harris Safwan Mohd Kamal muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini dengan 24 gol.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Johor berjaya menduduki tangga ketiga selepas menumpaskan Proton FC 2-0.
Jaringan tunggal Khairul Izwan Khalid pada minit ke-24 pula membantu pasukannya, Felda United menang 1-0 ke atas Melaka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Tentera. Tentera mendahului menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Venice Elphie pada minit ke-37. Sabah kemudian menyamakan kedudukan menerusi Wong Sai Kong pada minit ke-75.
Sarawak pula membenam SDM Kepala Batas 5-0 di Batu Kawan. Kedua-dua pasukan tercorot liga ini masing-masing mengumpul 15 dan 7 mata.
Keputusan dua pasukan yang naik ke Liga Super dan dua pasukan yang turun ke Piala FAM bagi musim depan akan hanya diketahui dalam masa terdekat apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan format baru pertandingan musim depan.
No comments:
Post a Comment