Sunday, September 6, 2009

FAM penakut!

CUBA bermain selamat? Itulah yang berlegar di fikiran bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr Ibrahim Saad apabila badan induk kebangsaan itu mengumumkan tidak meletakkan sebarang sasaran pada Sukan Sea Laos, hujung tahun ini.

Bagi beliau, belum pernah ada mana-mana badan induk kebangsaan yang tidak meletakkan sasaran pada kejohanan besar seperti Sukan Sea dan tindakan FAM itu secara tidak langsung mencerminkan betapa mereka tidak serius.

“Sasaran dianggap sebagai indeks prestasi utama (KPI) dan sekiranya FAM tidak meletakkan sasaran, itu bermakna mereka tidak mempunyai KPI. Soal ia tercapai atau tidak, itu perkara kedua tetapi yang penting, setiap persatuan perlu mempunyai KPI.

“Sepanjang pengetahuan saya, ini adalah kali pertama sebuah badan induk kebangsaan tidak mempunyai sasaran dan saya berpendapat ia adalah tidak wajar sama sekali. Banyak kesan buruk yang mungkin timbul sekiranya keputusan seperti itu dibuat,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad mengumumkan bahawa tidak ada sebarang sasaran buat skuad kebangsaan yang bakal beraksi di Sukan Sea Laos, Disember ini dengan alasan tidak mahu anak buah K Rajagobal itu tertekan.

Ibrahim berpendapat, tidakan itu mengundang aksi sambil lewa pemain kebangsaan selain tidak mustahil berasakan apa yang mereka lakukan di Sukan Sea sebagai sia-sia kerana FAM sendiri tidak mengambil berat.

“Dengan apa yang digembar-gemburkan media mengenai kehebatan skuad kebangsaan kita yang menjalani perlawanan persahabatan menentang kelab gergasi Inggeris, Manchester United, Zimbabwe, Kenya, China, Arab Saudi, Jordan, Singapura dan Indonesia, sudah tentu peminat mahu melihat kejayaan di Sukan Sea.

“Apa guna kita melaungkan bahawa skuad kebangsaan kita hebat ketika perlawanan persahabatan tetapi FAM sendiri tidak berani meletakkan sasaran di Sukan Sea. Pencapaian di Sukan Sea adalah sesuatu yang semua peminat tunggu.

“Ini adalah bola sepak zaman moden. Ketika sukan itu dinobatkan sebagai profesional, saya percaya tidak ada pasukan yang melangkah ke Sukan Sea atas dasar mahu mencari pengalaman atau memenuhi jadual.

“Semua pasukan yang ada di Sukan Sea meletakkan sasaran masing-masing dan Malaysia pula mengambil tindakan berlawanan. Saya sendiri tidak pernah gagal mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia dan sepanjang pengetahuan, pasukan kita sudah lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kalau benar kita sudah berada di tahap yang lebih baik, mengapa FAM tidak berani meletakkan sasaran?” katanya.

No comments:

Post a Comment